SPR akui kesilapan teknikal dalam daftar pemilih, kata Pakatan

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan terdapat pelbagai kesilapan dalam daftar pemilih, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini.

“Semua kebimbangan dan keraguan kami terbukti adalah benar. Ia bukan satu tuduhan liar, tapi ia berdasarkan penemuan sah yang disahkan sendiri oleh SPR,” kata naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kepada wartawan selepas mesyuarat dengan SPR bersama 40 ahli parlimen (MP) hari ini.

“Mereka kata mereka juga manusia. Tidak sempurna.

“Tolong sampaikan kebimbangan ini dan tolong beri kami satu jaminan bahawa anda tidak boleh mengadakan pilihan raya sehingga semua perkara ini diselesaikan,” kata beliau.

MP PAS, Fuziah Salleh dan DAP, Anthony Loke yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut juga mendedahkan pelbagai kesilapan dalam daftar pemilih yang diakui sendiri oleh SPR sendiri hari ini.

Fuziah berkata terdapat 40 ribu pengundi yang nama mereka hilang dalam daftar pemilih disebabkan status kematian mereka tetapi mereka kemudiaannya didaftarkan sekali lagi.

Menurut Fuziah lagi, SPR memberitahu bahawa peraturan pilihan raya menyatakan mereka tidak dibenarkan untuk membuang nama melainkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan pengundi tersebut meninggal dunia.

Fuziah juga berkata terdapat 2, 709 kes dimana pengundi yang ditempatkan semula di negeri yang salah lokalitinya walaupun alamat mereka menetap masih sama.

“SPR berkata mereka telah berhenti melakukannya, tetapi penemuan kami menunjukkan mereka masih terus melakukannya lagi,” dakwa Fuziah.

Leave a comment